Tuesday, October 13, 2009

[UTHM bincang pembinaan homestay ]

JOHOR BAHRU 21 Sept. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sedang rancak mengadakan perbincangan dengan penduduk di sekitar kampus Parit Raja berhubung projek pembinaan homestay bagi perumahan para pelajarnya.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, perbincangan itu melibatkan kertas cadangan yang merangkumi kaedah permohonan pengusaha dan pembiayaan pinjaman dana daripada pihak bank.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tarikh muktamad untuk memulakan projek itu namun berharap dapat memperkenalkan konsep rumah itu menjelang sesi kemasukan pelajar pada Julai 2010.

''UTHM komited untuk menjayakan projek rumah inap ini berdasarkan kejayaan universiti di Yogyakarta, Indonesia yang terbukti berkesan dalam mengurangkan kesesakan pelajar di asrama atau kolej.

''Selain itu, kita mendapati kewujudan konsep itu yang dikenali kos kosan di sana telah merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar kampus mereka berikutan wujud peluang peniagaan seperti kedai makan, kedai dobi, kedai internet dan kedai fotokopi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada Mei lalu, beliau bersama Timbalan Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Dr. Amir Hashim Mohd. Kassim dan beberapa pegawai tinggi akademik mengadakan lawatan di Yogyakarta bagi berkongsi pengalaman mengenai rumah inap di sana.

Turut menyertai lawatan itu ialah 20 penghulu, ketua dan pemimpin komuniti sekitar Parit Raja yang berkunjung ke Universitas Gajah Mada dan Universitas Negeri Yogyakarta selama empat hari.

Mohd. Noh berkata, UTHM telah menyediakan beberapa contoh rumah inap sama ada ia berkonsepkan satu bilik atau tiga bilik yang akan dibina berhampiran rumah pengusaha.

''Cadangan ini mampu dilaksanakan berdasarkan keluasan tanah yang dimiliki penduduk di sekeliling rumah mereka.

''Tambahan pula, Parit Raja masih mengekalkan nilai masyarakat kampung yang tinggi untuk membantu melaksanakan pembinaan rumah inap itu,'' katanya.

Ditanya modal besar yang diperlukan pengusaha rumah inap, Mohd. Noh berkata, UTHM akan mengeluarkan satu surat tawaran selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.

Katanya, surat itu boleh disifatkan sebagai jaminan pelaburan untuk dikemukakan kepada agensi kerajaan berkaitan atau pihak bank untuk membiayai pembinaan rumah inap itu.

Tambahnya, UTHM akan berurusan dengan para pengusaha dengan membayarkan sewa secara terus untuk tempoh sama ada selama enam bulan atau setahun.

''Penduduk kampung yang terlibat juga boleh menjadikan rumah inap itu sebagai tempat pelancongan dengan mengenakan kadar yang berpatutan ketika musim cuti semester selama dua bulan.

''Secara tidak langsung, pemilik rumah inap ini mampu memperolehi pendapatan tambahan selain pendapatan tetap menerusi bayaran sewa,'' katanya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin